Incorporated img

Incorporated img
Karma Kencana Shah

Baca E-Mail Dapat Duit

http://www.emailcashpro.com

Ahad, 14 Julai 2024

SKRIP / NASKHAH LAKON KHAS KEMERDEKAAN 2018

KASIHKU MALAYSIA (genre Realisme serius dan berat) BY KARMA KENCANA SHAH


PARA PELAKON

SJN ISMAIL         HANIF SAHAK

MELUR / FATIMAH KHAIRUNNISA

KOMUNIS / FARHAN DANIEL 

KOP RUDDY ZAHIDI 

SUHANA (POLIS)         SYAHANA ALYA


Pentas dibahagi dua bahagian. Sebelah kiri pentas kelihatan Sjn Ismail berlumuran darah merangkak dari tepi pentas. Sebelum itu, kedengaran bunyi tembakan bertalu-talu. Sjn Ismail satu-satunya yang terselamat. Di Sebelah kanan pentas, terdapat siluet memaparkan bayang Melur, isteri Sjn Ismail yang di siksa oleh komunis.

Scene 1

Sjn Ismail : (mengengsot sambil menahan kesakitan luka peluru di sana sini, semangat masih membara walau kudrat hampir ke hujungnya) Akan aku pertahankan kedaulatan negara ini…negara tanah tumpahnya darahku ini..walau hingga hujung nyawaku..walau sampai ke titisan darah terakhir.. jangan maruah negara ku tercalar..jangan anak cucuku terabai… Biar aku yang menanggung keperitan ini, biar aku yang menahan kesakitan ini, biar aku …. aku tidak mahu anak bangsaku di kemudian hari menanggung keperitan, kesakitan , kesedihan yang sama kami alami… Allahu Akhbar… (pengsan)

Siluet

Melur : (suara di balik bayang. Terduduk di lantai. Bayang Komunis sedang berdiri di hadapannya) Biar aku mati. Biar aku terkorban. Akan aku bertahan demi anak bangsaku. Siksalah aku. Bunuhlah aku. Selagi darah serikandi mengalir di tubuh ku, tidak akan ku biarkan walau sejengkal maruah bumi tercinta ini kau robek. (bayang muka Melur dipijak dan di tikam berkali-kali)

Muzik mendayu

Scene 2

Suasana sayu menyelubungi. Muzik sayu. Sjn Ismail dipapah oleh Kop Ruddy. Kelihatan Kawasan tanah perkuburan yang masih baru.

Kop Ruddy : Jen, bersabarlah, bertabahlah, ini lah pengorbanan yang harus kita tempuhi untuk mempertahankan bumi kita yang tercinta ini.

Sjn Ismail : Ya Ruddy, aku mengerti. Kesedihan ini terbawa-bawa. Aku rela dengan pemergiannya. aku rela. Aku bangga dengannya Ruddy. Dia tidak mengalah hingga hujung nyawanya Ruddy. 

Melur. Aku berjanji.. walau apa pun yang akan terjadi kelak, akan ku tempuhi sebagaimana kuatnya azam mu menempuhinya. Akan aku besarkan anak-anak kita sebagaimana yang kau mahu. Taat perintah agama.. Tidak gentar untuk melindungi nusa dan bangsa. Maruah tanah ini dijunjung tinggi… Damailah kau di sana Melur. Abang tetap menyayangimu.

Muzik mendayu

Scene 3

(Ruang tamu Sjn Ismail. Kop Ruddy membawa sebungkus pisang goring dan 2 bungkus air)

Kop Ruddy : Petang Jen..

Sjn Ismail ; Haa… Ruddy, apa khabar.. semalam kata nak ke Kuala Kangsar melawat anak?

Kop Ruddy : Tak jadi nak pergi, anak ada hal katanya.. lagi pun saya teringat kat jen.. entahlah macam ada yang tak kena..

Sjn Ismail : Kau ni Ruddy, dari dulu lagi macam tu.. kuat betul firasat kau ni.. 

(kedua-duanya senyap seketika, sambil membaca surat khabar dan minum minuman petang)

Sjn Ismail : Kau tengoklah berita ni ruddy. Tiap hari ku tengok ..baca.. naik meluat pulak nak beli surat khabar ni, tiap hari berita bunuh, tiap hari berita rompak, curi sana sini, tipu sana sini.. tu belum lagi rogol la, buang anak la.. 


Kop Ruddy : Inilah yang kita tak paham ni, bukan negara luar ni.. Malaysia ni.. Dalam Malaysia ni..


Sjn Ismail : Bila Baca berita begini Ruddy, teringat pulak aku.. bagaimana bersusah payahnya kita untuk mendapatkan kemerdekaan.. mendapatkan kebebasan , mendapatkan suasana aman damai … dan… akhirnya…

Kop Ruddy : Sebenarnya saya pun tak paham jen..apa yang difikirkan oleh orang-orang sekarang ni.. rakyatnya begini..pemimpinnya begitu.. walaupun tak semuanya … tapi kerana nila setitik pastinya rosak susu sebelanga jen..

(Masuk  Farhan dan Fatimah)

Farhan: (duduk di hadapan Sjn Ismail) Yah.. apa keputusannya dengan perbincangan kita minggu lepas tu? dah ada kata putus? (menjeling Kop Roddy)

Fatimah : (masih berdiri) Yelah.. kita ni nak ada keputusan yang cepat ni.. kalau boleh selesai sehari dua ni..

(Kop Ruddy mahu bangun. Hal keluarga)

Sjn Ismail : ( memegang tangan Kop Ruddy sambil geleng kepala) Assalamualaikum nak. 

(tiada sahutan)

Sjn Ismail : (nada lembut) Bukankah ayah dah cakapkan hari tu, walau apa yang terjadi , ayah akan kekal dengan keputusan ayah. Tidak akan sekali-kali ayah… menarik balik kata-kata ayah. Biarlah kita tunggu Suhana.

Farhan : Berapa kali Farhan nak terangkan yah? Tanah ni ada nilai besar..sangat besar.. lagi pun ayah boleh tinggal di Kuala Lumpur dengan kami..

Sjn Ismail : Dengan siapa?

(Fatimah dan Farhan saling berpandangan)  

Sjn Ismail : Ruddy, Kau dah lama bersama aku.. kita kawan sejak kecil.. aku minta pendapat.. bersaksikan anak-anakku.. Tanah ini.. tanah pusaka ini.. tempat tumpahnya darah ibu ku untuk melahirkan ku, tempat ku dibesarkan, tempat ini juga ibu mereka ….(terkenang) .. meninggalkan kami.. tempat kecil ini.. ingin mereka jual kepada peniaga hartanah singapura untuk membangunkan pusat peranginan katanya.. harga 10juta dollar singapura katanya.. ditawarkan juga sebuah rumah di Kuala Lumpur.. dan aku di minta untuk berpindah ke Kuala Lumpur.. Apa pendapat kau Ruddy..?

Fatimah : (marah menenking) Kenapa ayah nak minta pendapat orang luar ni yah? ini hal keluarga kita yah?

Sjn Ismail : (Masih bernada lembut) Kenapa Fatimah? kenapa Farhan, ?  ayah tak pernah ajar kamu dengan  sifat kurang ajar begini.. tamak haloba begini.. Apa yang kamu kejarkan? Apa yang tidak cukup?

Farhan : Ayah kena faham.. ayah kena lupakan semuanya yah.. di sini siapa nak jaga ayah? kami semua di Kuala Lumpur? Uncle Ruddy?? Sampai bila yah? kalau Uncle Ruddy dah mati? siapa lagi nak tengok ayah? 

Sjn Ismail : FARHAN? (terduduk, kecewa) Ya Allah..

(Kop Ruddy memangku Sjn Ismail)

Suhana : (luar pintu) Assalamualaikum Ayah... (di dalam rumah) Ya Allah kenapa ni uncle?, Farhan?, Fatimah?

Semua terkedu

Suhana : Ini mesti pasal nak jual tanah pusaka ni kan? 

Farhan : Kau tak payah nak sibuk la..

Fatimah : Dasar anak pungut..

Sjn Ismail : FATIMAH ? 

Suhana : Tak apa ayah.. ayah bertenang.. berehat dulu.. jangan pedulikan mereka berdua tu..

Uncle Ruddy apa khabar? 

Farhan : Kau jangan nak ubah tajuk pulak, Ana.. 

Fatimah : Jangan anggap kau tu pangkat tinggi dalam polis kami takut..

Farhan : Jadi Ayah.. sekarang orang yang ayah tunggu pun dah ada di sini… apa lagi? serahkan sajalah tanah ini kepada saya… lagi pun siapa lagi yang berhak, kalau tidak anak lelaki ayah ni? 

Fatimah : Ya ayah.. tak kan  nak bagi kepada anak pungut ayah ni? 

Sjn Ismail : Su… (su..dah)..

Fatimah : Ayah jangan pulak cakap, yang ayah sudah pindahkan nama milik tanah ni kepada betina tu..

Farhan : Apa hak dia pulak.. saya ni haa waris sah… berbinkan Sarjan Ismail Abu Mutalib..

Fatimah : Apa lagi ayah nak cakap? 

Suhana : Selama ini saya berdiam diri, saya pendam semuanya.. dengan harapan abang dan kakak akan berubah juga nanti. Tapi rupanya sehingga saat ini abang dan kakak tidak…hmmm (mengeluh)..

Sjn Ismail : Nak.. Farhan .. Fatimah… Suhana.. jika benar kamu mahukan tanah ini,, maka tunggulah hingga habis nyawa ayah… 

(Kop Ruddy memimpin Sjn Ismail masuk ke dalam biliknya)

(semua terkedu, terduduk, silent 5 saat)

Suhana : Abang … kakak… (lembut) Kenapa dari dulu abang dengan Kakak tidak pernah suka..tidak pernah terima Ana sebagai ahli keluarga ini? kenapa?

Fatimah : haaa… dah lama aku tunggu soalan kau ni.. kau tau kenapa? tau? ….    AKU MALU.. tau tak malu.. ada anak pungut dalam rumah ni.. semua orang kampung mengata.. Eh Fatimah kau ada adik baru ka? emak kau kan dah meninggal? siapa emak baru kau? kenapa muka komunis? anak pungut… sebenarnya ayah talibarut komunis yang menyebabkan mak kami meninggal.. SIAPA YANG TAK MALU BILA ORANG MENGATA BEGITU? 

Farhan : Aku bukan tidak suka kan kau..tapi aku jijik.. Anak Komunis? Kau tau betapa aku meluat dengan kau? semua apa yang kau nak ayah beri.. semua yang aku minta, semua ada saja soalan? Kenapa kau yang dilebihkan? kenapa bukan aku anak kandungnya?

Suhana : Abang … Kakak… Walaupun kamu berdua berulangkali benci pada ku.. sentiasa memulaukan ku.. aku tak pernah menyalahkan abang dan kakak.. kerana aku sedar siapa diri aku ini.. ANAK PUNGUT.. ANAK KUTIP.. ANAK HARAM .. ANAK KOMUNIS.. 

Aku sangat bersyukur ada ayah seperti Tuan Sarjan Ismail.. Ada abang FARHAN anak sarjan ismail.. Fatimah anak perempuan sarjan Ismail.. aku sangat berterima kasih, dapat menumpang di dalam keluarga kamu.. tiada sedikit dendam pun dalam hati ini.. Aku tidak minta dilahirkan sebagai anak komunis. Tapi kamu sudah tentu berasa sangat bangga menjadi anak Sjn Ismail.. Tuhan tidak pernah membeza-bezakan umatnya..yang membezakan hanyalah iman dan takwa..

Fatimah : Sudah la dengan kau punya ceramah..

Farhan : Polis..heh.. blab la bla…

Suhana :  Ya betul.. AKU ANAK KOMUNIS.. tapi ingat yang komunis itu ibu ayah ku.. bukan aku.. anak komunis inilah yang rela berkorban apabila kakak dan abang menyambung pelajaran.. ayah jual basikal dan motorsikal ayah untuk menampung kamu berdua.. aku hanya berjalan kaki ke sekolah.. sewaktu abang tahun akhir di Cambridge.. anak komunis ini lah yang membantu ayah berjual kuih berjalan kaki ke pekan. Kakak terlantar di hospital kerana kemalangan.. ayah setiap hari melawat kakak dengan hanya berjalan kaki ke hospital.. Dia tidak pernah mengeluh.. Anak komunis ini juga yang Nampak semua pengorbanan ayah.. anak komunis ini.. 

Ya betul, ayah belikan aku basikal lebih dulu dari abang.. tahu kenapa? kerana basikal itu gunanya untuk ke pekan.. motorsikal ayah selalu tiada cukup minyak.. dan anak komunis ini juga yang akan menunaikan permintaan ayah untuk membeli barang.. ayah sedikit pun tidak pernah mahu menganggu abang dan kakak yang mahu mengulangkaji pelajaran.. 

Abang dan Kakak mahu menjual tanah pusaka ini.. demi mendapatkan 10 juta dollar????? apakah 10 juta itu jika dibandingkan dengan kenangan kita di tanah ini.. 

aku masih ingat, disana..di tepi kolam itu.. abang pernah jatuh dan terluka.. ayah dengan kain terlondehnya menyerbu ke arah abang.. mengoyakkan kain pelikatnya untuk membalut luka abang… walaupun aku tahu kainnya itu baru dibelinya di pekan sehari sebelumnya.. Di situ pula.. di pangkin itu.. kakak pernah tertusuk selumbar kayu … ayah berusaha mengeluarkan selumbar itu.. sambil menangis..perkataan maaf tidak putus dari mulutnya.. betapa sayangnya ayah kepada kamu berdua.. ada banyak lagi kenangan yang kita lupakan di sini.. TAKKAN TIADA SATU PUN YANG DAPAT MENYEDARKAN ABANG DAN KAKAK???

(bergenang air mata Farhan dan Fatimah tapi masih bersikeras)

(Sjn Ismail keluar dari biliknya membawa segulung kertas, masih dipapah oleh Kop Ruddy)


Sjn Ismail : (ke arah Farhan) Nah… Ambil lah… jika ini lah yang kamu mahukan.. jika ini lah yang menjadi pertikaian kamu..hingga hilang kepercayaan kamu kepada tuhan.. pudar kesopanan dan kesusilaan kamu… ambil lah.. 

Farhan : (serba salah) …….

Fatimah : (saling berpandangan dengan Farhan)

Suhana : Yah… 

(Slow motion – Sjn Ismail jatuh terbaring. Dalam pangkuan Kop Ruddy)

Sjn Ismail : (terbaring) Aku tidak minta disanjung kerana budi. Tidak minta pangkat kerana jasa. Dendam ku kepada penjajah, kepada jepun, kepada komunis semuanya sudah hilang… pabila melihat negara kita aman , terpelihara.. 

(Suhana, Farhan dan Fatimah duduk mengelilingi Sjn Ismail dan Kop Ruddy)

Sjn Ismail : Anakku.. aku bertahan selama ini kerana kamu… harapanku besar kepada kamu bertiga… ayah tak pernah membezakan kamu.. bagi ayah kamu semua sama sahaja… 

Ingatlah pesanan ayah ini.. benda yang ada jangan persiakan, kerana yang pergi takkan kembali.. benda yang sudah terlepas dari gengaman takan pulang semula kepada kita.. semasa ada memang kita rasa tidak berguna..tapi sesalan di kemudian hari..pastinya tidak berguna… 

Terima kasih Ruddy atas kestiakawananmu.. Aku tak pernah menyesal dengan semua kehendak tuhan.. (Istighfar dan mengucap dengan susah payah)

Farhan, Fatimah dan Suhana : AYAH…

Pentas gelap. Kop Ruddy meletakkan kepala Sjn Ruddy di Atas Bantal Sofa..


Kop Ruddy: TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN, TANAH INI, TANAH TEMPAT KITA BERPIJAK INI ADALAH TANAH KITA. TANAH TUMPAHNYA DARAH KITA. IBU PERTIWI KITA. LELAH MERAIH  KEMERDEKAAN TAKKAN PUDAR,.. DALAM PADA KITA BERGERAK KE HADAPAN KITA HARUS MEMANDANG KEBELAKANG . INGAT DAN KENANG JASA-JASA NEGARAWAN TERULUNG SEPERTI TENGKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ, TUN ABDUL RAZAK,TUN ISMAIL, TAN CHEN LOK, TUN SAMBATHAN DAN RAMAI LAGI YANG PATUT DIKENANG. MEREKA INI IALAH YANG TAMPIL BERSAMA BERUSAHA MELAKAR KEMERDEKAAN UNTUK BERUSAHA MENDAPATKAN KEMERDEKAAN DARIPADA EMPAYAR BRITISH  DENGAN PAKATAN DAN PENYELESAIAN TERBAIK SECARA INTELEKTUAL BUKANNYA DENGAN PERTUMPAHAN DARAH TETAPI DENGAN RUNDINGAN DAN RAKYAT MALAYSIA SAMBUTLAH MERDEKA PADA HARI INI DENGAN SEMANGAT SAYANGKAN MALAYSIA. SAYANGI MALAYSIA KITA.

  

______________________________________________________________________________

Skrip ini telah sebenarnya.. aku pun x pasti bila masa ku buat skrip ni. tahun bila.. untuk apa.. rasanya untuk sambutan hari kemerdekaan kot.  tapi hamtam sajalah....upload untuk rujukan ...

Idea asal memang dariku, Karya Harta Intelek ini boleh digunakan semula, digarap semula tapi bagilah credit sekurang-kurangnya kepada hamba sahaya ini. 

Tq alls...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan